Monday, April 23, 2012

Apa Itu Seni Reka Grafik

SENI GRAFIK

Pengenalan
Seni grafik ialah seni komunikasi visual.  Seni ini menggunakan gambaran dekorasi, tipografi, ilustrasi dan fotografi. Dengan lain perkataan seni grafik ialah seni komersil.  Bidang-bidang seni grafik seperti reka bentuk korporat, reka bentuk penerbitan, reka bentuk pembungkusan, rekabentuk pengiklanan, reka bentuk multimedia dan laman web.


Pereka Grafik
Seorang pereka grafik perlu mempunyai kriteria berikut:
1. Berkemahiran dalam mencipta, merancang, mengembang dan membuat sesuatu rekaan.
2. Berpengetahuan tinggi dalam ilmu senireka dan berdisiplin tertentu.
3. Kemahiran melukis, mentafsir, memilih warna, huruf dan reka letak.
4. Berkemahiran mengaplikasikan perisian grafik seperti Adobe Ilustrator, Adobe Photoshop, Flash dan banyak lagi yang berkaitan dengan multimedia.



Reka bentuk Identiti Korporat
Identiti Korporat berkait rapat dengan membina imej seragam untuk sesebuah organisasi, pertubuhan dan syarikat perniagaan. Ia bermula dari mereka bentuk logo, pemilihan warna yang sesuai dengan latar belakang organisasi, kepala surat, sampul surat, kad perniagaan, pakaian seragam, kenderaan dan semua yang berkenaan dengan organisasi tersebut perlu ada imej yang seragam.  
Keseragaman ini akan melahirkan imej pegun kepada syarikat atau oranisasi tersebut.


Tujuh perkara dalam reka bentuk korporat perlu diberi perhatian:
1. Logo
2. Tipografi
3. Warna
4. Jenama
5. Kualiti
6. Komuniti
7. Budaya




















Reka bentuk Penerbitan
Melibatkan rekaan seperti reka letak buku, majalah, suratkhabar, buletin, kad ucapan dan seumpamanya







Reka Bentuk Pembungkusan
Reka bentuk pembungkusan pelbagai produk komersil contohnya produk makanan, alatan, kosmetik, ubat-ubatan, bahan kima dan pelbagai lagi.  Pembungkusan pelbagai produk ini perlu disesuaikan dengan jenis barangan samada barangan cecair, pepejal, kimia, barang elektrik dll.


 Pembungkusan bahan cecair



Pembungkusan barangan farmasi


Pembungkusan bahan kimia.




 Pembungukusan bahan kosmetik




Pelbagai jenis reka bentuk pembungkusan.






Reka Bentuk Laman Web
Reka bentuk laman web merupakan cabang seni grafik.  Seorang pereka grafik perlu mahir dalam penggunaan komputer untuk membina laman web yang benar-benar berfungsi dengan baik dan efektif.











Reka bentuk Iklan dan Papan Tanda
Iklan-iklan pada billboard, reka bentuk papan tanda jalan atau arah, papantanda perniagaan dll.




 Papan tanda pintu masuk utama





Billboard


Papan tanda elektronik




Papan tanda jalan


Papan tanda kedai


















Saturday, April 21, 2012

Anyaman Lidi



Pokok Kelapa dikenali sebagai okok serbaguna  kerana semua bahagianpokok itu boleh digunakan.  Salah satu bahan kraftangan yang diperbuat daripada pokok kelapa ialah lidi.  Berbagai barangan boleh dihasilkan dengan menggunakan lidi kelapa.  Antaranya lekar, bekas telur, bakul, bekas buah-buahn dan gubahan bunga.

Menganyam lidi

Antara hasil anyaman daripada lidi


Kraftangan daripada lidi ini dimulakan dengan proses meraut dan mengisit daun kelapa yang muda dan panjang untuk mendapatkan lidinya.  Lidi yang sudah licin, direbus dengan pewarna dan emudian dijemur hingga kering.  Kini lidi itu sedia dianya mengikut bentuk yang dikehendaki.






Anyaman Rotan



Pengenalan


                                  
           
Rotan


Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh liar di  hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun 
kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. 


Memproses Bahan

Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.


Hasil Anyaman Rotan


Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.

Anyaman Mengkuang dan Pandan


Anyaman Mengkuang

Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan.


Proses Menghasilkan Anyaman Mengkuang

1.    Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu. 

2.   Melayur
Daun-daun dilayur atas api atau boleh juga dijemur pada panas matahari hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. 

3. Menjangka
Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. 



Melurut daun.

4.    Merendam

Daun diikat dan direndam 2-3 hari.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih.

5.    Mewarna bilah daun

 Mencelup warna

Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.


6.    Menganyam

Proses menganyam saji

Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji. 

Menganyam kelarai



Corak anyaman umumnya disebut kelarai.  Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan. Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk hiasan pinggir atau birai pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung.


Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur, berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Daripada unsur fauna pula, ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing dan tapak harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk bahagian tertentu ikan, serangga dan unggas. Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan.

Tokoh Anyaman Pandan dan Mengkuang


Puan Aminah 
 Adiguru Anyaman



Puan Aminah dilahirkan pada tahun 1944. Berasal dari Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal. Puan Aminah merupakan tokoh kraf anyaman yang telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1982 beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Pertukangan tangan sezaman anjuran muzium Negara. Hingga kini beliau masih aktif sebagai seorang ahli kraftangan anyaman.

Tokoh-tokoh Lain Dalam Kraf Anyaman
1.   Cik Siah bt Jumaat berasal dari negeri Terengganu mencipta kelarai Sambas
2.   Hajah Asiah bt. Salleh dari negeri Terengganu mencipta kelarai Tapak harimau
3.   Hajah Semek dari negeri Terengganu mencipta kelarai Mak Mek
4.   Esah bt Said dari negeri Kelantan mencipta kerai Sisik Kelah
5.   Dayang Aisah bt. Awang Husin dari negeri Sabah mencipta kelarai bunga




Anyaman Buluh


Pengenalan
Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. 


Langkah-langkah untuk memproses anyaman buluh
Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air asam dan air selut selama seminggu. Cara  yang lebih mudah digunakan masa kini  ialah dengan merebus buluh bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama. 
Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah, disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.

Hasil Anyaman Buluh



Pengenalan Anyaman

Pengenalan

Anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menebat pengaliran haba.




Definisi Anyaman

Anyaman bermaksud proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut.


Sejarah Anyaman

Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza, cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. 

Anyaman merupakan seni tradisi yang tidak mempunyai pengaruh dari luar. Perkembangan Sejarah anyaman adalah sama dengan perkembangan seni tembikar. Jenis seni anyaman pada masa Neolitik kebanyakan adalah menghasilkan tali, rumah dan keperluan kehidupan. Bahan daripada akar dan rotan adalah bahan asas yang awal digunakan untuk menghasilkan anyaman. 

Sehingga kini beberapa negeri masih terus aktif menjalankan kegiatan anyaman di peringkat kampung. Antaranya di daerah Rusila, Dungun, Kampung Ru Renggoh, Kampung Kijing, Cendering dan Kuala Ibai di negeri Terengganu. Negeri-negeri lain yang masih terdapat aktiviti anyaman ialah negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Sarawak dan Sabah.



Jenis-jenis Anyaman

Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman.


Jenis Anyaman

Bahan

Hasil anyaman

Anyaman Mengkuang

Daun mengkuang

Tikar, tudung salji, bekas pakaian dan lain-lain

Anyaman pandan

Daun pandan duri

Tikar sembahyang, hiasan dinding,

Anyaman Buluh

Jenis-jenis buluh yang sesuai

Bakul, bekas pakaian, nyiru, beg dan lain-lain

Anyaman Rotan

Rotan yang telah diproses

Bakul, bekas pakaian, tempat buaian anak dan lain-lain

Anyaman Lidi

Lidi kelapa

Lekar, bekas buah, bekas telor.

Anyaman ribu-ribu

Paku pakis ribu-ribu.

Tempat tembakau, bekas sirih terbus, bakul, bekas seba guna dan lain-lain.




Pendidikan Seni Di Malaysia Antara Harapan Dan Realiti..


Pertukaran nama daripada Seni Lukis dan Pertukangan Tangan kepada Pendidikan Seni pada awal tahun 1980an apabila KBSR diperkenalkan dan seterusnya akan bertukar semula namanya kepada Pendidikan Seni Visual pada 2002 tentulah berlatar belakangkan rasional yang amat signifikan. Ianya memberi kesan yang jelas kepada matlamat dan objektif keseluruhan mata pelajaran ini. Kandungan mata pelajaran pun akan berubah atau bertambah. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran juga akan berubah mengikut keperluan seterusnya akan mempengaruhi strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah juga. Yang tidak kurang pentingnya ialah falsafah, kepercayaan dan amalan guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu selari dengan falsafah dan matlamat mata pelajaran ini.


Pada hari ini dan beberapa tahun kebelakangan berbagai-bagai pihak yang bergiat dalam pendidikan seni visual sama ada secara individu maupun oleh institusi, kerajaan dan badan bukan kerajaan berusaha dengan berbagai-bagai pendekatan dan kaedah untuk meletakkan mata pelajaran pendidikan seni (visual) ini ke atas landasan yang benar agar martabatnya selari dengan mata pelajaran sekolah yang lain. Dalam usaha ke arah itu beberapa isu yang bersangkutan dengan keberkesanan pedagogi mata pelajaran ini perlu dijelaskan.


Pendidikan Seni Visual- Seni Halus – Seni Kraf : Kecelaruan Konsep

“Art Education” kini kita panggil Pendidikan Seni (Visual) sebagai satu mata pelajaran. Kita perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan mata pelajaran ini. Kerana sehingga kini dari pengamatan dan kajian saya masih terdapat berbagai-bagai tanggapan dan tafsiran tentang pendidikan seni (visual) ini. Kerana apabila disebut pelajaran pendidikan seni ada yang beranggapan sebagai suatu aktiviti seni yang merangkumi kegiatan melukis dan membuat gambar atau lebih kepada bidang seni halus. Adakah seni halus itu serupa dengan pendidikan seni visual ? Ada setengah pihak pula beranggapan Pendidikan Seni menjurus kepada kerja-kerja menghasilkan produk kraf. Ada yang beranggapan pendidikan seni visual kini lebih berbentuk akademik dengan mengajukan bidang sejarah dan apresiasi seni .


Kesamaran ini perlulah dijelaskan. Bidang-bidang ilmu itu mempunyai falsafah dan struktur ilmu yang khusus masing-masing menjurus kepada matlamat yang berlainan. Sekiranya pemikiran dan keparcayaan yang masih bercelaru ini tidak dijelaskan bagaimana seorang guru itu dapat mendukung falsafah dan matlamat matapelajaran yang diajar. Kesannya ialah akan berlaku penyempangan dan mengawal proses pendidikan yang mengikut selera yang tidak tentu arah dan matlamatnya. Akhirnya mata pelajaran ini seperti ayam kehilangan ibu dan seperti layang-layang putus tali.


Usaha telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Kurikulum untuk menjelaskan konsep pendidikan seni ini. Jikalau diteliti kesemua peringkat sukatan pelajaran pendidikan seni yang disediakan sudah jelas pengertian dan matlamatnya. Tetapi kecelaruan itu masih berlaku dalam kepercayaan dan amalan di bilik darjah atau ketika proses pengoprasian dilakukan . Nilai-nilai pendidikan tidak berjaya diamalkan dalam proses p&p Pendidikan Seni di bilik darjah tumpuan lebih kepada matlamat menghasilkan produk semata-mata. Untuk menjelaskan lagi konsep Pendidikan Seni itu, menurut Eisner (1972) terdapat tiga komponen dalam P&P yang saling berkait iaitu, berpusatkan pelajar, subjek dan masyarakat. Ini selari dengan pendapat para akademik seperti Ralph Tyler yang membahaskan bahawa semua teori-teori dan program pendidikan mesti berfokus kepada tiga komponen tersebut .


Subjek
Pelajar Masyarakat
Pendidik mata pelajaran ini harus jelas akan 3 persoalan di bawah ini:
• Siapa yang kita ajar
• Mengapa kita mengajar
• Apa yang kita ajar


(Laura Chapman 1978)


Siapa yang kita ajar: 
Merujuk kepada kanak-kanak di sekolah bermula di peringkat tadika hinggalah remaja di sekolah menengah malah hingga orang dewasa yang mengikuti pendidikan sepanjang hayat (life long education).


Mengapa kita mengajar: 
Jawapan persoalan ini merujuk kepada apalah matlamat dan objektif khusus yang jelas ialah untuk membantu memperbaiki masyarakat supaya kehidupannya lebih selesa. Membantu pelajar kita agar kehidupan masa hadapannya lebih sempurna.


Apa yang kita ajar: 
Yang kita ajar adalah proses mengurus dan mempermudahkan struktur ilmu Pendidikan Seni agar domain kognitif pelajar berkembang, menerapkan nilai-nilai dalam pembentukan sahsiah pelajar agar domain efektifnya terbentuk dan meningkatkan kemahiran psikomotor mereka.




Masalah Mentafsir Kandungan Pendidikan Seni Visual ke dalam bentuk Operasi di bilik darjah


Beberapa unsur terlibat dalam proses ini,  pertamanya sejauh mana penguasaan ilmu dikalangan kita yang berkaitan dengan kandungan mata pelajaran ini. 
Keduanya setakat mana keupayaan kita berupaya mengurus unsur-unsur dalam kurikulum pendidikan seni. 
Ketiga setakat mana kita jelas tentang keperluan murid-murid atau pelajarnya ketika belajar pendidikan seni. Keperluan dari segi psikologi, sosial, fizikal, emosi dan sebagainya. Keempatnya setakat mana kita mampu menguruskan masa berbanding dengan jumlah kandungan yang hendak diajar dan dengan kemudahan yang ada. 
Kelimanya apakah kepercayaan kita kepada konsep perancangan, adakah kita mengamalkan kepercayaan “selesaikan semua isi kandungan yang dirancang, “buat sahaja perancangan pelajaran tahun lalu” atau sikap ambil mudah dalam merancang rancangan pelajaran pendidikan seni. 
Keenam kreativiti guru mengatasi masalah “kekurangan”




Yang jelas ialah perlunya memiliki pengetahuan yang mencukupi dan sikap yang positif terhadap tugas sebagai guru pendidikan seni. Latihan yang didapati di maktab atau universiti belum menjamin keberkesanan guru dalam menyediakan pelajaran pendidikan seni ini kerana guru perlu mengemasakinikan dirinya dengan pengetahuan-pengetahuan dan kemahiran baru yang boleh mempengaruhi tingkah laku guru untuk bertindak secara lebih positif dalam mentafsir kandungan pelajaran ini sesuai dengan keperluan dan perubahan semasa.


Konsep DBAE umpamanya tidak pernah dipelajari ketika berkursus dalam tahun 70an atau 80an. Tetapi konsep atau struktur kurikulum berdasarkan empat disiplin ilmu pendidikan seni ini merupakan amalan terkini di peringkat antarabangsa.


 Sukatan pelajaran pendidikan seni (visual) terpengaruh dengan perubahan ini. Persoalannya adakah guru-guru di sekolah rendah atau menengah sedar tentang keadaan ini. Sesuatu perubahan baru tentangnya perlu disampaikan kepada guru-guru di sekolah. Oleh itu perlulah diusahakan suatu makanisma bagaimana maklumat seperti ini sampai kepada para guru. 


Kepada yang menguasai ICT mereka mampu mendapatkan maklumat terkini dengan melayari internet. Suatu cara lain ialah melalui jurnal yang diterbitkan oleh pihak-pihak tertentu. Yang pentingnya ada pihak yang bertanggungjawab untuk menulis menerbit dan mengedarkannya. Suatu cara lagi adalah melalui kursus-kursus pendek dalam pendidikan seni perlu selalu diadakan oleh pihak tertentu sama ada dianjur oleh pihak kementerian atau institusi pengajian tinggi yang lain.


Hanya dengan ilmu dan kemahiran yang ada berserta dengan jelas falsafah, matlamat dan objektif barulah seseorang guru pendidikan seni itu dapat merancang pelajaran dengan berkesan . Kandungan sukatan pelajaran boleh ditafsir dengan tepat seperti yang dikehandaki. Setiap tajuk pelajaran dapat dikembangkan kepada pelajar secara bersepadu dengan menitikberatkan kepada memperkayakan pengalaman pelajar menerusi proses pembelajaran bersepadu. Sebagai contoh suatu proses pelajaran yeng berkaitan dengan komposisi dalam membuat gambar. 


Proses pembelajaran tidak mungkin boleh diselesaikan dalam masa satu sesi pelajaran sahaja. Seharusnya pelajar didedahkan dahulu dengan konsep gubahan dalam sebuah catan dengan merujuk beberapa contoh seniman tempatan atau antarabangsa. Sesi ini pelajar bersama-sama meneroka dan mencari maklumat yang dirangsang oleh guru, secara tidak langsung sesi kritikan berlaku, pelajar boleh membuat perbandingan, seterusnya membuat rumusan. Sesi berikut pelajar boleh menggunakan kriteria, gubahan dari mana-mana seniman yang dipilih kemudian membuat gambar, mungkin menggunakan kaedah peniruan itu tidak salah kerana ia merupakan suatu proses belajar. 


Setelah mereka faham dan mengenalpasti konsep gubahan dalam catan mereka perlu membuat sebuah cipataan berdasarkan kefahaman mereka sendiri dengan mengambil kira peraturan- peraturan dalam membuat sebuah gubahan yang telah mereka temui. Sesi berikutnya disusuli dengan sesi kritikan tentang kerja-kerja mereka pula.


Melalui proses di atas pelajar diberi ilmu bagaimana untuk membuat sebuah gubahan yang baik (merujuk kepada data-data dari guru dan seniman terpilih) dengan ilmu itu pelajar menggunakan sebagai latihan, konsep dalam gubahan bertambah, kamahiran juga bertambah melalui latihan, proses pengamatan semakin matang maka pelajar semakin yakin kepada keupayaan dirinya untuk terus berkreatif. Dalam proses ini yang penting adalah :
• peningkatan ilmu dalam membuat gubahan
• peningkatan ilmu dalam sejarah seni, mengenali tokoh seni
• peningkatan ilmu dalam estetika dan laras bahasa seni (mengenal gubahan yang baik)
• peningkatan ilmu dalam kritikan dan laras bahasa seni
• pengamatan terhadap sesuatu gubahan dalam ruang dua dimensi semakin berkembang
• pelajar lebih berasa yakin terhadap kebolehannya, kerana guru telah merancang pelajaran dengan memfokuskan kepada prosidur (Lansing 1971, Efland 1977)






Latihan dan Kursus Pendidikan Seni di peringkat Maktab Perguruan dan Institusi Pengajian Tinggi


Apabila seseorang graduan atau guru awalan yang berkelulusan seni, pendidikan seni atau yang berkaitan dengan seni visual melangkah kakinya ke sekolah mereka akan membawa bersama pengalaman semasa latihannya ke sekolah. Setiap institusi membekalkan pengalaman pelajarnya berdasarkan matlamat dan objektif latihan masing-masing. 


Latar belakang pengalaman graduan itu bergantung kepada bidang kepakaran (pengkhususannya) ditambah dengan kursus diploma pendidikan selama setahun atau seumpamanya. Sedangkan ruanglingkup isi kandungan dalam sukatan pelajaran pendidikan seni sekolah menengah dan sukatan pelajaran baru pendidikan seni STPM begitu luas sekali. Untuk menjadi sebagai seorang guru pendidikan seni yang berkesan latihan yang didapati di institusi pengajian tinggi itu masih tidak mencukupi, kecuali pengajaran pendidikan seni disekolah menengah dilakukan berdasarkan pengkhususan bidang masing-masing. Jikalau sebaliknya apabila guru golongan ini diminta mengajar keseluruhan tajuk-tajuk pelajaran ini bagi satu-satu tingkatan sedangkan beliau mahir dalam suatu bidang pengkhususan sahaja maka beberapa tajuk lain akan tertinggal, kerana kurang mahir dan tidak berkeyakinan untuk mengajar. Sekira ini yang berlaku maka konsep pendidikan seni akan menjadi lebih terkeliru di peringkat ini.


Seperkara lagi corak latihan yang diterima oleh bakal-bakal guru di maktab perguruan. Rata-rata bakal guru ini akan mengajar di sekolah rendah. Pendidikan seni di peringkat sekolah rendah merupakan tahap pembentukan konsep yang amat penting. Hubungan antara pelajaran pendidikan seni dan kanak-kanak sekolah rendah khususnya di tahap satu amatlah signifikan. Pelajaran pendidikan seni di peringkat ini lebih merupakan suatu proses untuk membantu perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh kanak-kanak. Landasan pelajaran ini adalah berlandaskan teori perkembangan. Dan pendidikan seni kepada kanak-kanak adalah lebih kepada keperluan eksprasif, di samping perlu untuk meningkat domain kognitif, afaktif dan psikomotor mereka. Ianya banyak menyentuh tentang aspek psikologi perkembangan. Oleh itu guru-guru pendidikan seni perlulah benar-benar terlatih dalam bidang ini. Persoalannya sejauh manakah latihan yang mereka lalui. Adakah hal tersebut merupakan fokus latihan bagi kursus pendidikan seni untuk bakal guru sekolah rendah ?


“Siapa saja boleh mengajar Pendidikan Seni”, Pendidikan Seni “pelajaran yang tidak ada potensi”.  Seperkara lagi yang menjadi isu dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni adalah tanggapan masyarakat sekolah yang sering beranggapan bahawa : sesiapa sahaja boleh mengajar pendidikan seni, pendidikan seni merupakan waktu untuk guru-guru “berehat” setelah penat mengajar mata pelajaran lain yang “lebih berat”. Selagi tanggapan ini tidak dibetulkan selagi itulah mata pelajaran ini beransur-ansur lenyap dari pandangan positif masyarakat sekolah. Kerana tanggapan inilah menjadikan pelajaran ini semakin sehari semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Malahan ada kalangan guru yang pernah terlatih dalam pendidikan seni merasa malu mengajar pelajaran ini, mereka lebih rela mengajar pendidikan jasmani, dan pelajaran lain yang lebih “glamour”.


Selagi pelajaran ini diajar oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak inovatif serta kreatif dalam menyediakan pelajaran maka selagi itulah konsep dan roh pelajaran pendidikan seni itu tidak akan hidup di dalam semangat pelajar. Selama itulah pelajar juga akan memandang sepi mata pelajaran ini. Kesannya akan menimbulkan masalah kepada guru-guru pendidikan seni yang bersemangat untuk mengajar kerana pelajar-pelajarnya menolak untuk belajar pendidikan seni, Ini berlaku kerana berdasarkan pengalaman mereka pelajaran pendidikan seni adalah pelajaran untuk berseronok kosong, hambar, kosong, “masa rehat” , dan tiada nilai masa depan serta tiada yang baru, belajar dari sekolah rendah hingga ketingkatan lima benda yang sama saja . (Respon pelajar terhadap soal selidik persepsi pelajar terhadap pandidikan seni, 1999 di kawasan Batang Padang)


Untuk merubah persepsi pelajar ini memerlukan pengorbanan yang besar. Guru perlu gigih dan sabar, perlu memiliki motivasi yang tinggi. Guru perlu menguasai keperluan sebenar pelajar mempelajari pelajaran ini. Tahap awal guru perlulah menanamkan keyakinan kepada pelajarnya bahawa pelajaran ini “berbaloi untuk belajar” Pelajaran perlulah memiliki unsur istimewa yang mendorong pelajar untuk terlibat sama walaupun terpaksa mengeluarkan wang, tenaga dan masa. Mereka sanggup melaluinya sekiranya pendidikan seni itu menarik, berpotensi, berbaloi untuk belajar, ada nilai keilmuannya. Untuk ini guru terpaksalah menggunakan berbagai kaedah untuk memotivasikan pelajarnya melalui berbagai strategi pengajaran dan pembelajaran. Pelajar juga perlu didedahkan kepada berbagai bidang dan jenis kerajaya yang boleh membuka mata mereka bahawa mempelajari pelajaran pendidikan seni ada potensi dalam kerjaya jikalau diberi tumpuan bersungguh-sungguh.


Memertabatkan pelajaran Pendidikan Seni Selari dengan matapelajaran yang lain: Isu untuk memertabatkan matapelajaran pendidikan seni seiring dengan mata pelajaran yang lain bukanlah suatu isu yang baru. Saya percaya guru-guru yang mencintai bidang ini sentiasa memperjuangkannya. Pada dasaranya matapelajaran pendidikan seni adalah tergolong dalam kumpulan matapelajaran asas dari sekolah randah hingga tingkatan tiga. Sama tarafnya dengan mata pelajaran sejarah, geografi, kemahiran hidup, pendidikan jasmani dan kesihatan dan sebagainya. Agihan jam interaksinya dalam seminggu pun sama iaitu tiga waktu seminggu.


Apabila seseorang pelajar sekolah menengah tamat peperikasaan SPM mereka yang mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia boleh menunjukkan keupayaannya dalam berbahasa samaada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Begitu juga mereka yang lulus dalam matematik mampu menyelsaikan masalah matematik berdasarkan ilmu pengetahuan yang mereka kuasai. Pelajar dari bidang vokasional dan teknikal pula mampu memperlihatkan kemahiran-kemahiran mereka, sesetengahnya menguasai kemahiran asas sebagai persediaan untuk peringkat pengajian lebih tinggi atau menceburi di bidang pekerjaan.


Persoalan dan kerisauan saya adalah mereka yang mendapat kepujian dalam pendidikan seni di peringkat SPM, apakah istimewanya mereka. Adakah mereka memiliki tahap ilmu seni setara dengan peringkat SPM seperti mata pelajaran yang lain ? Adakah mereka memiliki daya kreativiti yang tinggi, setara dengan SPM. Adakah kemahiran mereka dalam penciptaan dan penghasilan karya seni setara dengan kemahiran-kemahiran mata pelajaran lain di peringkat SPM. Adakah kita sudah merasa puas tentang tahap pendidikan seni sekarang ?
Untuk menjawab persoalan-persoalan di atas kita boleh jadikan objektif-objektif pelajaran pendidikan seni sebagai landasan ukuran.


Keduanya kita perlu menilai semula bagaimana usaha kita menyusun atur isi kandungan mata pelajaran ini secara berperingkat-peringkat mulai daripada tahun satu sekolah rendah hinggalah ke tahap SPM. Ini adalah kemahiran membuat perancangan tahunan bagi setiap tahap Peringkat STPM, PPK telah berjaya memperlihatkan suatu tahap mutu kandungan yang setara dengan kedudukannya, walaupun masih di peringkat permulaan tetapi jauh lebih bermutu berbanding dengan kandungan sukatan pelajaran lama.


Ketiga , sudah sampai masanya mata pelajaran ini memiliki buku rujukan atau sekurang-kurangnya ada buku panduan. Soalannya berbalik semula kepada isu yang di atas iaitu bergantung kepada keupayaan guru menterjemah isi kandungan ke dalam bentuk operasi dalam P&P di bilik darjah.


Keempatnya sebagai mata pelajaran sekolah , keperluan asasnya dari segi infrastruktur perlulah diberi perhatian. Sudah sampai masanya setiap sekolah memiliki sekurang-kurangnya satu bilik seni yang lengkap sama seperti pelajaran Kemahiran Hidup, Sains Rumahtangga atau matapelajaran Sains.


Kelima: Hanya guru yang layak sahaja mengajar waktu pelajaran ini. Keenamnya, mungkinkah Seni memiliki sekolah menengah khasnya seperti juga sekolah sukan ? seperti ura-ura jabatan Pendidikan Johor ?




Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni.

Apakah pendekatan yang digunakan oleh guru untuk mengajar Pendidikan Seni ? Adakah kita henya menggunakan pendekatan p&p yang steriotaip sahaja? Sebenarnya terdapat berbagai pendekatan yang bolah kita amaklan agar proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini lebih menarik. Sebagai contohnya guru bolah menggunakan:


Pendekatan Kemanusiaan dalam Pengajaran Pendidikan Seni.

Menurut Michael (1983) dan Feldman (1970) mencadangkan agar guru menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Menerusi proses pembelajaran yang berlandaskan pendekatan kemanusiaan itu pelajar akan mengenali dirinya dan hubungan dengan masyarakat dan kehidupannya. Keadaan ini akan membantu proses perkembangan mereka dari peringkat paling asas iaitu mengenali diri sendiri, mengenali seni dan kelompok-kelompok masyarakat kecil di persekitaran mereka, peka tentang perasaan mereka , memiliki konsepsi diri yang jelas dan boleh menyatakan pernyataan diri mereka secara kreatif melalui media. Seterusnya mengenali nilai-nilai kemanusiaaan yang boleh digarap maklumatnya daripada karya atau pernyataan seni yang boleh dikesan pada mana-mana bentuk seni atau mana-mana karya seni.




Pendekatan Behaviorisme

Ahli behaviorisme mempercayai tingkah laku pelajar boleh dibentuk melalui pengalaman-pengalaman pendidikan yang disediakan. Perancangan Pendidikan Seni yang berkaitan dengan situasi kehidupan sebenar adalah penting untuk memastikan kejayaan yang lebih berkesan bagi mencapai objektif pembelajaran.  Aspek asas kepada pendekatan ini adalah guru-guru perlu mematuhi disiplin untuk pencapaian sesuatu matlamat yang telah ditentukan dengan mengenalpasti keutamaan, mengaplikasi kaedah-kaedah penyelidikan terhadap tugas-tugas pengajaran dari semasa ke semasa dan bersedia untuk mereka bentuk alat-alat untuk pengujian dan penilaian dalam pembelajaran dan pengajaran seni.


Masalah utama yang mungkin dihadapi oleh guru adalah untuk menentukan tingkahlaku berasaskan objektif kurikulum pendidikan seni. Apakah tingkah laku yang relevan untuk Pendidikan Seni ? Bagaimana seseorang itu boleh mencapai perubahan tingkah laku ketika belajar Pendidikan Seni ? Sampai ke tahap manakah sesuatu perubahan itu dinilai ? Matlamat dan objektif manakah yang digunakan sebagai ukuran untuk sesuatu penilaian. Bolehkah dikenalpasti apa yang boleh dipelajari, apa yang akan diajar dan tingkah laku pelajar yang macam mana yang perlu dibentuk?


Pengamatan sebagai pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni.
Merujuk kepada objektif pelajaran Pendidikan Seni sama ada untuk sekolah menengah atau rendah, salah satu tujuan pembelajaran Pendidikan Seni adalah untuk menajamkan persepsi pelajar. Semua pembelajaran Pendidikan Seni menitikberatkan kepada persepsi (pengamatan) proses mendapat pengetahuan, melayani perasaan dan pernyataan semuanya berlaku menersui deria kita. Sesetengah berpendapat pengamatan melalui deria itu adalah kunci kepada segala ilmu dan pengetahuan. Ianya adalah tingkah laku asas dalam proses seseorang melengkapkan ilmu pengetahuan melalui penerokaan alam persekitrannya.


Proses pengamatan melibatkan seseorang itu membuat penelitian, menganalisis, mengsintesis dan menilai. Ia merupakan suatu proses mengurus maklumat yang memerlukan tindakan integrasi secara kreatif. Proses ini juga memerlukan seseorang itu berfikir secara terbuka dan lebih bersifat luwes .
Dalam kurikulum Pendidikan Seni aktiivti pengamatan ini telah ditetapkan supaya dilaksanakan mulai dari awal persekolahan hinggalah ke tingkatan menengah atas, Amalannya adalah mengikut tahap keupayaan pelajar. Guru-guru perlu menguasai dan mengenalpasti tahap keupayaan pengamatan pelajarnya dan menggunakannya untuk tujuan perancnagan pengajaran dan pembelajaran.


Aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mengembangkan keupayaan pengamatan ini perlu dikenalpasti. Aktiviti yang boleh membantu pelajar untuk memajukan pengamatan, dan meningkatkan proses kematangan deria perlu disediakan. Program-program perlu disediakan sehingga berjaya membawa perubahan secara mampan terhadap aras kepekaan pengamatan pelajar.


Pendekatan Perkembangan Menyeluruh

Pendidikan seni adalah merupakan bidang ilmu yang menjelaskan konsep pendidikan menyeluruh, yang memenuhi tuntutan domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini sejajar dengan Falsafah PendidikanNegara. Kneeth M. Lancing (1971), pada dasarnya manyatakan bahawa pendidikan seni perlu memfokuskan perhatian kepada tiga domain utama tersebut. Antara kandungan yang ada di dalam ketiga-tiga domain tersebut adalah;


Domain Kognitif : iaitu ilmu yang berkaitan dengan gubahan, prosedur, sejarah dan apresiasi, estetika serta seni dalam kehidupan.
Domain Afektif : iaitu suatu aspek yang berkaitan dengan nilai, sikap, minat, keperihatinan, mempunyai pertimbangan, menghargai warisan dan mempunyai sahsiah yang baik.
Domain Psikomotor: iaitu menumpukan kepada pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kualiti koordinasi antara mata , tangan, otot dan mental.


Seterusnya pelajar yang berbakat akan menjadi penggiat seni dan yang kurang berbakat atau berkemahiran akan menjadi penggemar atau pengkritik seni yang mahir serta berilmu pengetahuan hasil dari proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan seni.


Kesimpulannya:

Banyak isu-isu lain yang tidak diutarakan di sini umpamanya isu yang berkait dengan pendidikan merangkupi era ICT dan seumpamanya. Walaubagaimanapun tahniah diucapkan kepada Kementerian Pendidikan di bawah urusetia Pusat Perkembangan Kurikulum dan unit-unit lain yang telah berusaha untuk meletakkan matapelajaran pendidikan seni ini ke tahap yang sewajarnya. Usaha untuk mengemaskini kualiti sukatan pelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat SPM dan STPM telah dan sedang dilakukan. Usaha ini dilakukan dengan melibatkan wakil-wakil dari semua peringkat sistem pendidikan Negara kita. 


Pernyataan falsafah, matlamat dan objektifnya telah jelas. Isi kandung pelajaran dan ruang lingkupnya telah dinyatakan selaras dengan tahap sukatan pelajaran. Dengan harapan agar mata pelajaran pendidikan seni dapat memenuhi harsat wawasan dan falsafah pendidkan kebangsaan, dalam usaha untuk memberi persediaan kepada generasi muda dengan ilmu, nilai dan kemahiran kepada generasi muda dengan personality sebagai rakyat Malaysia yang cemerlang untuk generasi akan dating. Ini adalah harapannya. Realitinya diminta kita sama-sama membuat renungan. Sejauh manakah kita telah melaksanakan peranan kita untuk merealisasikan harapan itu. Sejauhmanakan kita telah meletakkan kualiti pengajaran kita dengan menguasai dan mengamalkan beberapa pendekatan sesuai untuk sesuatu matlamat pengajaran, supaya pelajaran pendidikan seni itu benar-benar berkualiti, menarik dan bermakna dari perspektif pelajar Daripada isu-isu yang telah diketengahkan di atas, mungkin kita perlu mengambil langkah untuk memperbaiki bersama-sama dengan memberi pandangan dan idea dalam seminar atau perbincangan yang amat perlu diadakan dengan lebih kerap lagi, mungkin melalui kelompok perbincangan yang lebih kecil . Semuga dengan itu dapat memartabatkan pelajaran pendidikan seni ini ke tempat yang sewajarnya.
Sekian.






Artikel dari:
Prof. Madya Hj. Iberahim
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kesenian
Universiti Pendidikan Sultan Idris