Pokok Kelapa dikenali sebagai okok serbaguna kerana semua bahagianpokok itu boleh
digunakan. Salah satu bahan kraftangan
yang diperbuat daripada pokok kelapa ialah lidi. Berbagai barangan boleh dihasilkan dengan
menggunakan lidi kelapa. Antaranya lekar,
bekas telur, bakul, bekas buah-buahn dan gubahan bunga.
Menganyam lidi
Antara hasil anyaman daripada lidi
Kraftangan daripada lidi ini dimulakan dengan proses meraut dan mengisit daun kelapa yang muda dan panjang untuk mendapatkan lidinya. Lidi yang sudah licin, direbus dengan pewarna dan emudian dijemur hingga kering. Kini lidi itu sedia dianya mengikut bentuk yang dikehendaki.
Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun
kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain.
Memproses Bahan
Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.
Hasil Anyaman Rotan
Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.
Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan.
Proses Menghasilkan Anyaman Mengkuang
1. Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.
2. Melayur
Daun-daun dilayur atas api atau boleh juga dijemur pada panas matahari hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk.
3. Menjangka
Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka.
Melurut daun.
4. Merendam
Daun diikat dan direndam 2-3 hari.
Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih.
5. Mewarna bilah daun
Mencelup warna
Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.
6. Menganyam
Proses menganyam saji
Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji.
Menganyam kelarai
Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan. Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk hiasan pinggir atau birai pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung.
Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur, berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Daripada unsur fauna pula, ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing dan tapak harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk bahagian tertentu ikan, serangga dan unggas. Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan.
Tokoh Anyaman Pandan dan Mengkuang
Puan Aminah
Adiguru Anyaman
Puan Aminah dilahirkan pada tahun 1944. Berasal dari Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal. Puan Aminah merupakan tokoh kraf anyaman yang telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1982 beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Pertukangan tangan sezaman anjuran muzium Negara. Hingga kini beliau masih aktif sebagai seorang ahli kraftangan anyaman.
Tokoh-tokoh Lain Dalam Kraf Anyaman
1. Cik Siah bt Jumaat berasal dari negeri Terengganu mencipta kelarai Sambas
2. Hajah Asiah bt. Salleh dari negeri Terengganu mencipta kelarai Tapak harimau
3. Hajah Semek dari negeri Terengganu mencipta kelarai Mak Mek
4. Esah bt Said dari negeri Kelantan mencipta kerai Sisik Kelah
5. Dayang Aisah bt. Awang Husin dari negeri Sabah mencipta kelarai bunga
Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki.
Langkah-langkah untuk memproses anyaman buluh Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air asam dan air selut selama seminggu. Cara yang lebih mudah digunakan masa kini ialah dengan merebus buluh bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama.
Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah, disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.
Anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menebat pengaliran haba.
Definisi Anyaman
Anyaman bermaksud proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut.
Sejarah Anyaman
Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza, cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman.
Anyaman merupakan seni tradisi yang tidak mempunyai pengaruh dari luar. Perkembangan Sejarah anyaman adalah sama dengan perkembangan seni tembikar. Jenis seni anyaman pada masa Neolitik kebanyakan adalah menghasilkan tali, rumah dan keperluan kehidupan. Bahan daripada akar dan rotan adalah bahan asas yang awal digunakan untuk menghasilkan anyaman.
Sehingga kini beberapa negeri masih terus aktif menjalankan kegiatan anyaman di peringkat kampung. Antaranya di daerah Rusila, Dungun, Kampung Ru Renggoh, Kampung Kijing, Cendering dan Kuala Ibai di negeri Terengganu. Negeri-negeri lain yang masih terdapat aktiviti anyaman ialah negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Sarawak dan Sabah.
Jenis-jenis Anyaman
Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman.
Jenis Anyaman
Bahan
Hasil anyaman
Anyaman Mengkuang
Daun mengkuang
Tikar, tudung salji, bekas pakaian dan lain-lain
Anyaman pandan
Daun pandan duri
Tikar sembahyang, hiasan dinding,
Anyaman Buluh
Jenis-jenis buluh yang sesuai
Bakul, bekas pakaian, nyiru, beg dan lain-lain
Anyaman Rotan
Rotan yang telah diproses
Bakul, bekas pakaian, tempat buaian anak dan lain-lain
Anyaman Lidi
Lidi kelapa
Lekar, bekas buah, bekas telor.
Anyaman ribu-ribu
Paku pakis ribu-ribu.
Tempat tembakau, bekas sirih terbus, bakul, bekas seba guna dan lain-lain.
Tenunan adalah suatu proses hasil jalinan atau sulaman benang-benang secara selang-seli antara benang loseng (yang menunggu) dengan benang pakan (yang mendatang ) untuk dijadikan sehelai kain.
Sejarah Tenunan
Seni tenunan adalah suatu warisan yang terus mendapat tempat istimewa dalam kebudayaan Nusantara. Faktor yang mendorong perkembangan seni tenunan ini dapat disorot pada kepentingan kedudukan rantau ini dari segi geografi. Sebagai tempat persinggahan kapal yang strategik, Nusantara menjadi tumpuan utama pedagang dari Tanah Arab, India dan China. Antara barangan yang didagang ketika itu ialah kain termasuk kain tenun. Oleh sebab itu, seni tenunan di Nusantara banyak dipengaruhi dari negara-negara tersebut.
Di antara tenunan yang paling terkenal ialah Songket Melayu dan Tenunan Pua peribumi Borneo. Perusahaan tenunan ini banyak dilakukan di negeri Pantai Timur khususnya di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Teknik hasil kraftangan tenunan utama yang menampakkan keseragaman tekstil Melayu. Kain tenunan beerti kain atau tekstil yang dihasilkan dengan teknik tenunan yang dibuat daripada benang.
Tenunan awal yang dihasilkan dengan menggunakan alat tenun duduk, yang masih kekal dalam budaya masayarakat Iban. Masyarakat Bajau Darat atau Iranun juga mewarisi alat tenunan duduk, tetapi berkembang kemudiannya dengan alat tenun berkaki seperti alat tenunan di wilayah budaya tekstil Meayu pesisir yang lain. A.J Hill ( 1949 ) beranggapan bahawa menenun adalah perusahaan yang tertua yang telah dihasilkan di Terengganu dan Kelantan dengan menggunakan ‘kei berkaki’. Peralatan yang lebih maju berbeza dengan alatan duduk suku Iban, Iranun, Bajau, Batak ( ikat Pakan ).
Jenis-jenis Kain Tenunan
Kain Cindai
Kain Cindai atau juga dikenali sebagai kain Limar, merujuk kepada kain tenunan sutera halus yang bermutu tinggi. Kain Cindai merupakan kain yang mempunyai tenunan benang tinggi setiap inci dan dikatakan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Jumlah tenunan ikat berkembar yang tinggi ini menjadikan kain Cindai amat kukuh dan menjadi rebutan kerana dianggap mampu menahan tikaman senjata. Ini boleh dianggap sebanding dengan pengunaan baju sutera oleh pahlawan Mongol yang menyebabkan panah yang menembusi tubuh mereka tidak mampu menembusi alas baju sutera mereka, dengan itu membolehkan mata panah ditarik keluar.
Pembuatan kain Cindai juga memerlukan kapakaran menenun yang tinggi, menyebabkan jumlah yang dihasilkan terhad dan dengan itu mendapat permintaan yang tinggi. Ini menyebabkan harganya tinggi dan menjadi simbol status sebagai bangsawan dan hartawan.
Kain cindai juga digunakan sebagai senjata kerana kekukuhannya dan digunakan secara menyebat. Ia juga digunakan secara mencekik, menyambar anggota badan lawan dan mengunci atau mengikat pergerakan lawan. Kebiasaannya untuk pertarungan, satu hujung kain ini akan diikat dalam simpulan tertentu untuk berfungsi sebagai pemberat bagi memudahkan ia disebat. Pakar cindai boleh menyebat simpulan ini dengan tepat dan dikatakan mereka dapat memecahkan busut dengan ketepatan dan kekuatan sebatan itu. Kebiasaannya pesilat wanita menggunakannya sebagai senjata pertahanan diri kerana kain cindai digunakan sebagai tudung/selubung, selendang atau ikat pinggang dalam pemakaian tradisional pakaian wanita Melayu.
Sejarah Kain Cindai
Catatan sejarah membayangkan bahawa kain cindai dibawa masuk ke Tanah Melayu pada abad ke-12 atau ke-13 Masihi. Kain ini berasal dari Hadrami di wilayah Gujerat, India dan dibawa ke negara ini oleh pedagang Islam melalui pelabuhan Terengganu. Kain cindai ialah sejenis kain nipis dan ringan yang ditenun daripada benang sutera yang sederhana kasar. Coraknya dihasilkan dengan teknik ikat dan celup. Kain cindai dibahagikan kepada dua jenis iaitu cindai jantan dan cindai betina. Perbezaannya dikenali pada corak atau bunga dan pada warna latar atau tanahnya. Cindai jantan mempunyai bunga yang kasar dan garang, manakala cindai betina menampilkan bunga yang halus dan lembut. Bunga kain cindai diberi nama yang unik seperti giling kacang, hujan lebat, sekawan merpati dan tikar ru.
Kain Limar
Pada tahun 1773 pemerintah Melaka, Sultan Mansur Syah I telah meminta para penenun istana mencipta sejenis kain yang menyerupai kain cindai dan kain songket. Daripada pemerintahan diRaja itu, lahirlah kain limar. Ketika kain limar mula-mula dihasilkan dahulu, kombinasi warna-warna buah limau iaitu rentetan warna dari hijau kuning ke merah tua digunakan. Kain limar ditenun daripada benang sutera dan bersulam benang emas. Kedua-dua cara digunakan untuk membuat kain cindai dan kain songket. Teknik buatan kain limar sama dengan kain cindai cuma perbezaannya sebelum ditenun, coraknya ditentukan dengan cara mengikat benang-benang itu berkelompok pada alat aning. Kain limar merupakan pakaian wanita istana pada zaman dahulu.
Tenunan Rungus
Kain yang ditenun secara tradisional ini diusahakan oleh kaum Rungus yang mendiami daerah Kudat, Sabah. Tenunan Rungus menggunakan benang kapas. Proses menenun kain Rungus ini serupa dengan proses menenun kain dastar dan kain pua. Alat tenunan dipanggil kek sandang belakang untuk menenun dastar dan disebut ‘babaal’ dalam bahasa Rungus. Warna tradisi kain Rungus ialah hitam, merah, kuning dan putih. Warna kuning dan putih digunakan sebagai warna rekacorak dan jalur. Corak kain ini direka supaya jalur-jalur tersusun mengikut motif yang berlainan. Motif tenunan Rungus berunsurkan bentuk binatang, manusia, senjata dan tumbuh-tumbuhan.
Tenunan benang kapas
Tenunan ini adalah tenunan biasa termasuk dalam kelompok tekstil sederhana iaitu jenis awal yang ditemui di wilayah budaya tekstil Melayu pesisir. Tekstil ini khususnya yang diperbuat daripada kapas dipakai oleh kalangan rakyat biasa. Tenunan biasa berhias corak hasil jalinan tenun benang pakan dan loseng berwarna. Pada peringkat ini, tenunan biasa masih di peringkat sederhana iaitu belum lagi diberi motif hiasan. Tenunan bercorak mula memperlihatkan keindahan khususnya apabila benang sutera atau benang emas diselit untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil seperti pada kain hujan emas. Hampir seluruh wilayah budaya tekstil melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Riau-Siak, Sulawesi, Minangkabau, Palembang menghasilkan tenunan biasa atau tenunan becorak yang seperti ini.
Tenunan Pua
Tenunan Pua diusahakan oleh kaum Iban di Sarawak. Alat tenunan tradisional ini dinamakan kei tumpah. Alat ini biasanya tersimpan di beranda rumah panjang. Semasa menenun, alat ini diikatkan pada tiang rumah dan tenunan diregangkan dengan menyandangkan pada penenun. Tenunan pua dikaitkan dengan cara hidup masyarakat Iban. Kerja menenun itu dilakukan sendiri mengikut adat, penenun mesti akur pada petua dan pantang larang. Misalnya, rekacorak hantu atau roh yang dikenali sebagai ‘engkeramba’ tidak boleh ditenun di pinggir pua. Rekacorak itu mesti ditenun di tengah-tengah pua dan dipagari oleh rekacorak ‘kemerbai’. Jika tidak dilakukan sebegitu, hantu atau roh itu akan terlepas dan mengacau penghuni rumah panjang atau mungkin membawa malapetaka ke atas mereka. Tenunan pua ada pelbagai jenis. Di antaranya ialah pua mata, pua rara dan pua kumbu. Pua kumbu adalah pua yang paling rumit. Cuma penenun yang mahir dan cekap sahaja sanggup untuk menghasilkannya. Manakala, pua mata dan pua rara biasanya ditenun oleh penenun yang kurang mahir atau baru belajar. Kebanyakan corak yang digunakan adalah berunsurkan tumbuh-tumbuhan dan binatang. Motif tenunan dihasilkan daripada teknik ikatan iaitu ikat dan celup. Pewarnan tenunan pua diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan seperti kunyit, pinang dan kulit kayu baku. Warna utama yang digemari adalah merah tua, coklat, kuning dan hitam. Biasanya kain pua yang kasar dijadikan selimut manakala kain pua yang halus dijadikan kain sarung dan jaket untuk dipakai pada majlis-majlis tertentu. Kini, kegunaan kain pua dipelbagaikan seperti hiasan dinding, beg tangan, kulit fail, alas meja dan sebagainya.
Tenunan Pahang
Kain tenunan Pahang dipercayai berasal daripada Sulawesi dan dibawa ke Pahang pada abad ke-16. Tokoh yang bertanggungjawab ialah Tuk Tuan atau Keraing Aji yang berketurunan Bugis dan bermastautin di Kampung Mengkasar, Pekan, Pahang. Dari Pahang, corak ini berkembang ke Kelantan dan Terengganu. Tenunan Pahang menggunakan alat yang dikenali sebagai kei siam. Kedua-dua benang sutera dan benang kapas boleh digunakan. Motif utama ialah petak-petak dan jalur tegak atau melintang.
Kain tenunan Pahang digunakan sebagai kain sarung, kain sampin, selendang dan juga dijahit untuk pakaian tradisional. Kini, penghasilannya telah disesuaikan mengikut permintaan serta kegunaan pereka fesyen tempatan dan luar negeri untuk dipadankan pada majlis-majlis makan malam, adat istiadat Diraja, pakaian pengantin dan sebagainya. Sebagai satu hasil seni yang bernilai, harganya bergantung pada harga dan jenis benang yang digunakan.
Tenunan Songket
Sejarah Songket
Dari segi sejarah, tenunan songket hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau. Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.
Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak.
Kain songket merupakan tenunan yang dihasilkan daripada jalinan benang loseng (yang menunggu) dengan benang pakan (yang mendatang). Proses pada asasnya mudah, ini dapat menghasilkan ciptaan seni tampak yang indah dan menjadi kebanggaan bangsa. Pusat tenunan di Semenanjung bermula di Terengganu. Pada masa ini Terengganu dan Kelantan adalah pusat pengeluaran kain tenunan.
Tenunan sutera mempunyai corak yang mudah seperti corak Muar (susun melintang dan berdiri); corak Bugis (susunan bersegi kecil), corak melintang tapak catur, kain limar, kain pelangi, corak parang, rosak, hingga ke tenunan songket dengan corak bintang bertabur, jong sarat, dan teluk berantai.
Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera. Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima. Nama tekat itu berkaitan dengan penggunaan bilangan lembaran benang sutera dan jarak antara lembaran benang emas yang disongket. Tekat tiga lebih sukar dan rumit daripada tekat lima dan hasilnya lebih halus. Penggunaan benang emas yang dikembar dua yang dilakukan dengan selembar benang sutera akan menghasilkan tenunan yang lebih bermutu dari segi teknik dan kesan.
Songket adalah lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kreativiti tukang tenunan terselah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik. Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah mennggalakkan lagi perkembangan tenunan tempatan. Tenunan songket mula dibeberapa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Dizaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang. Secara tradisi songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan. Kini songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.
Keanggunan kain songket selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan dalam bentuk dimensi baru seperti penghasilan songket dalam bentuk bag tangan, kasut, hiasan dinding, kusyen, bingkai gambar dan sebagainya.
Tradisi menenun masih dapat dikekalkan dan tiada berubah sebagaiman seratus tahun dahulu.
Corak dan motif
Corak dan motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan sekali gus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya dengan keindahan dan keunikan.
Antara corak yang digunakan:
Susunan bunga penuh
Susunan bunga bertabur
Susunan bercorak
Corak bunga penuh
songket sulam tabur
susunan bercorak
Motif yang digunakan pula adalah seperti:
Motif Tumbuh-tumbuhan
Motif Binatang
Motif Alam/Benda
Motif Kuih
Reka bentuk kain songket mengandungi badan, kepala, pucuk rebung, atau bunga lawi ayam (dalam bentuk pucuk rebung), diapit di antara kepala dan tepi kain.
Motif pucuk rebung pada kepala kain songket
Antara motif songket yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan ialah pucuk rebung, bunga lawi ayam, bunga baling, tapak kecupu, bunga tanjung, bunga cermai, bunga setelop, tampuk kesemak, tampuk manggis, dan buah delima. Manakala corak-corak songket yang abstrak dinamakan kasap, pecah lapan, tapak kacip, potong wajik, bunga tiga dara, bunga logam, bunga kerongsang, dan jong sarat.
Motif yang diilhamkan daripada alam sekitar pula dinamakan bintang buta, air molek, awan larat, dan teluk berantai. Yang diilhamkan daripada haiwan ialah bunga lawi ayam, unduk-unduk, bunga hati, dan sisik kelah.
Kain songket menggunakan warna seperti merah asam jawa, merah darah ikan, merah jambu, kuning penang masak, kuning lemak ketam, kuning tanah liat, kuning kunyit, hijau pucuk pisang, hijau serindit, hijau batang bemban, hijau lumut, hijau terusi, biru air laut, biru manis, ungu biji rembia (butir setar), ungu manis, kelabu asap, dan hitam.
Proses menenun adalah sama bagi kebanyakan negeri di Semenanjung Melayu. Perbezaannya mungkin terdapat dalam penggunaan alat-alat tenunan, istilah-istilah yang diberikan kepada proses menenun dan corak bunga songket yang digunakan.
Pada amnya menenun songket terdiri dari lapan proses. Proses ini diturunkan secara rahsia dari satu generasi ke generasi yang lain oleh penenun yang mahir. Penenun ini hanya menyampaikan pengetahuan dan kemahiran menenun kepada anak-anak dan cucu-cicit yang berminat sahaja.
Proses Tenunan Songket
Bahan dan Alat
Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.
Teknik dan Proses Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.
1. Melerai
Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.
2. Menganing
Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.
3. Menggulung
Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.
4. Menyampuk
Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.
5. Menghubung
Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.
6. Mengarak
Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.
7. Menyolek
Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.
8. Menenun
Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.
Video : Songket Terengganu
Songket Dimensi Baru
Pengeluaran songket kini telah mengorak langkah ke dimensi baru. Hasil tenunan dijadikan barang yang boleh dikomersilkan ke peringkat antara bangsa. Antara hasilan songket dimensi baru seperti bag tangan, selipar, bingkai gambar, tudung lampu dan sebagainya.
Tenunan Pua Sarawak
Pua Kumbu merupakan kain kapas berpola pelbagai warna yang digunakan oleh kaum Iban dihasilkan dan digunakan di Sarawak. Pua kumbu ditenun oleh wanita Dayak dan tenunan kain pua dianggap sebagai objek suci.
Video : Menenun Kain Pua
Kehalusan dan keindahan seni kraftangan Sarawak jelas terpancar melalui warisan pelbagai hasil kraftangan kaum etnik yang terdapat di Sarawak. Pua, tenunan ikat-lungsin yang diwarisi turun-temurun oleh suku kaum Iban memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup.
Kombinasi warna coklat kemerah-merahan yang terdapat pada tenunan pua cukup harmonis dan menarik. Motif tumbuh-tumbuhan, binatang dan lambang makhluk seperti corak cicak (engkarong), buaya, lembaga manusia (engkaramba) dan sebagainya memaparkan keunikan rekacorak tradisi tenunan pua. Namun demikian, penenun pua kini lebih tertumpu kepada motif moden seperti bentuk tumbuh-tumbuhan dan geometrik.
Selain daripada kegunaan di upacara adat istiadat dan keagamaan, tenunan pua juga boleh dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi. Antaranya ialah bidang (skirt), sirat (cawat), kalambi (jaket) dan dangdong (kain sarung).
Jalinan hasil tenunan dan kegemilangan kombinasi warna dan corak tenunan yang mempersonakan, memaparkan keindahan serta nilai estetika dan mistik tenunan pua yang masih terpelihara hingga ke hari ini.