Tuesday, February 21, 2012

Pendidikan Seni Visual dan Kreativiti


Pendidikan berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan Seni dalam Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang bertujuan melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif, berpengetahuan dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka terhadap ciri estetik.

Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . 

Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel.

Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. 

Kefahaman menerusi visual tentunya lebih mudah daripada penghafalan fakta menerusi catatan berjela. Peta minda yang digrafikkan secara mudah lebih berkesan untuk menyatakan sesuatu konsep atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni berupaya memenuhi tuntutan dalam masalah ini.


No comments:

Post a Comment

Post a Comment